Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sebanyak 15 kotak besar hati buyah mentah, 96 bungkus tongkeng ayam mentah dan 500 karton rokok berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PolMar), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dalam satu operasi rondaan di perairan negara baru-baru ini.
Menurut kenyataan PPDB, rampasan berkenaan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah perahu mencurigakan yang berjaya dipintas selepas berlaku aksi kejar-mengejar di perairan berhampiran Sungai Kupang.
Pasukan rondaan yang sedang menjalankan tugas rutin telah mengesan empat buah perahu mencurigakan memasuki perairan negara. Tindakan pantas pengejaran dilaksanakan dan salah sebuah perahu berjaya dihentikan.
Suspek yang berada di dalam perahu bertindak melompat ke sungai dan melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran.
Pemeriksaan ke atas perahu berkenaan menemui beberapa kotak hitam yang diselubungi dengan pukat ikan, yang kemudiannya disahkan mengandungi barangan tidak diisytiharkan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Semua barang rampasan termasuk perahu telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB menegaskan komitmennya dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan perairan negara dan terus membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang serta digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993 atau di mana-mana balai polis berhampiran.