Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup minuman keras dipatahkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Usaha Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) membanteras aktiviti jenayah telah berhasil apabila berjaya menggagalkan dua cubaan penyeludupan minuman keras dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota Balai Polis Bangar pada 6 dan 7 Mei yang lalu.

    Dalam kejadian pada 6 Mei, pihak polis telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang disyaki membawa barang-barang tegahan dalam perjalanan menuju ke Daerah Brunei dan Muara.

    Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan menemukan sebanyak 180 botol dan 624 tin minuman keras yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

    Dalam operasi berasingan pada 7 Mei pula, berdasarkan maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan Jalan Kubur Belais, Temburong, pihak polis telah menjalankan siasatan dan menemukan beberapa kotak plastik berwarna hijau yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Sungai Belais.

    Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak berkenaan menemui 24 botol dan 96 tin minuman keras.

    Kedua-dua kes telah dilaporkan di Balai Polis Bangar dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan serta siasatan lanjut.

    PPDB dalam kenyataannya menegaskan komitmen pihak berkuasa untuk terus giat menjalankan operasi pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. Orang ramai turut diseru agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti penyeludupan atau jenayah lain yang boleh membawa akibat buruk kepada diri sendiri serta keluarga.

    Semua di atas: Antara barang tegahan yang ditemui dan ditahan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda