Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup petrol digagalkan

    LAHAD DATU, 31 Mac – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan tiga lelaki warga asing di Perairan Felda Sahabat dekat sini, selepas disyaki cuba menyeludup keluar 18 tong minyak petrol ke negara jiran, pagi tadi.

    Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki, termasuk seorang kanak-kanak berkenaan kira-kira 11.20 pagi.

    “Suspek ditahan berumur lingkungan lapan hingga 40 tahun. Ketika pemeriksaan ke atas bot, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen sah untuk membawa barang-barang kawalan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

    “Di samping itu, kesemua suspek juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Abdul Bari berkata kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat aktiviti mencurigakan dan melanggar undang-undang negara, disaran melaporkan segera kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda