Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Sebanyak 10 bungkusan kotak besar yang mengandungi 500 karton rokok pelbagai jenama telah ditemui di kawasan perindustrian Kampung Lumapas, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Barang tegahan berkenaan ditemui semasa Operasi Rondaan Task Force COVID-19 yang dijalankan oleh Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), yang mendapati dua buah kereta mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, anggota dari Balai Polis Kampong Ayer segera menjalankan siasatan di tempat kejadian selepas menerima laporan dan mendapati bungkusan kotak-kotak yang mencurigakan tersimpan di kawasan tempat duduk penumpang serta dalam bonet kedua-dua kenderaan berkenaan.
Kesemua barang rampasan berserta kenderaan-kenderaan tersebut diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB dalam kenyataan itu turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai apa jua kegiatan jenayah dengan menghubungi talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.


