NARATHIWAT, 17 Ogos – Kastam Takbai merampas 200 kotak mengandungi lebih 51,000 bungkus rokok yang cuba diseludup masuk ke Thailand dari Pengkalan Kubur, Kelantan.
Ketua Kastam Takbai Siripong Wutta-tinan berkata, rokok yang dianggarkan bernilai 5 juta Baht (kira-kira RM625,000) itu disembunyikan dalam sebuah kenderaan pikap ketika ia berada di atas feri menuju ke Takbai dari Pengkalan Kubur dua hari lepas.
“Pemilik kenderaan pikap itu sempat meloloskan diri daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Polis Takbai Kol Phacharapon Na-nakorn dan Ketua Tentera Pasukan Petugas Narathiwat Kol Ponsakorn Saengkul di sini. – Bernama