Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sebanyak 300 karton rokok telah dirampas dan seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan hasil rondaan Operasi Sepadu Task Force COVID-19 yang dijalankan sekitar waktu malam kelmarin di kawasan kebun, Persimpangan 2302, Kampung Junjongan, Daerah Brunei dan Muara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), di sini, hari ini, operasi sepadu berkenaan adalah gabungan keanggotaan melibatkan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, PPDB dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Semasa rondaan dijalankan, pasukan peronda telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang didapati sedang melalui jalan kebun berkenaan, kenderaan bersama pemandu segera diperiksa dan telah menemukan dua bungkusan kotak besar yang mencurigakan tersimpan di bahagian bonet belakang kenderaan.
Siasatan mendapati bungkusan berkenaan berisi barang tegahan dipercayai rokok, jelas kenyataan itu lagi. Pasukan peronda turut menjalankan pemeriksaan di kawasan sekeliling lokasi berkenaan dan turut menemukan empat lagi bungkusan dipercayai barang tegahan rokok.
Balai Polis Limau Manis, PPDB dan pihak penguatkuasaan dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi dan hadir bagi mengambil tindakan lanjut. Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kotak-kotak berkenaan telah mendapati sejumlah 300 karton rokok di dalamnya.
Kesemua barang rampasan termasuk lelaki berkenaan di-serahkan kepada pihak JKED bagi siasatan lanjut.