Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Sebanyak 24 botol minuman keras dan 50 karton rokok berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa menjalankan pemantauan di kawasan penuruan perahu Kampung Buda-Buda, Daerah Temburong, baru-baru ini.
Rampasan tersebut dibuat berikutan maklumat yang diterima mengenai satu kegiatan penyeludupan. Kira-kira jam 11:30 malam, keanggotaan dari Balai Polis Bangar telah menjalankan pemantauan di kawasan tersebut.
Semasa pemantauan, didapati sebuah kenderaan berwarna putih dan dua orang warganegara tempatan dipercayai menjalankan aktiviti mencurigakan dan ditahan oleh pihak PPDB kerana memiliki barang tegahan.
Kesemua barang-barang tegahan dan suspek ditahan di Balai Polis Bangar, untuk siasatan selanjutnya.
PPDB ingin mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan memiliki barang tegahan kerana ia boleh memberi impak negatif kepada masyarakat di negara ini.
Oleh itu, jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah disarankan untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.