Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Syarikat pengedar peralatan elektrik rumah dan dapur jenama Korea, Cuckoo telah membuka cawangannya yang keempat di Giant, Tasek Rimba, hari ini.
Pengurus Natural Cuckoo Giant, Tasek Rimba (Bahagian Jualan), Pengiran Muhammad Syafie semasa majlis pembukaan itu berkata, barangan rumah berjenama Korea yang tidak asing lagi ini memberikan pelbagai kemudahan dan kebaikan kepada orang Brunei khususnya.
Barangan yang ditawarkan terdiri daripada peralatan dapur seperti penapis air, periuk nasi yang memiliki pelbagai kemudahan berteknologi tinggi serta penapis udara yang memiliki kelebihannya tersendiri.
Selain daripada menjual barangan berjenama Korea, Cuckoo juga berperanan untuk memberi pendidikan kepada orang ramai akan kepentingan kesihatan dalam penggunaan atau memasak, pengambilan minuman dan makanan seharian.
Ini, katanya, adalah antara cara syarikat tersebut membantu untuk mendokong orang ramai dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih berkualiti dan pengamalan cara hidup sihat.

Cuckoo yang membawa maksud ‘Cook’ (memasak) itu telah menjual lebih 25 juta unit peralatan rumah di seluruh dunia dan tersenarai sembilan tahun berturut-turut oleh Pusat Produktiviti Korea serta dianugerahkan Jenama Korea Prestige dalam Kategori Penulenan Air pada tahun 2014.
Sementara itu, di Korea Selatan, mesin penulenan air Cuckoo dijual pada rekod satu unit setiap minit dan periuk nasi pula dijual satu unit setiap sepuluh saat.
Cuckoo akan terus mengembangkan sayapnya dan membuka pintu untuk penduduk tempatan dalam peluang pekerjaan dengan pasukan mereka.