LOS ANGELES, 29 OKT – Cucu Presiden Amerika Syarikat, Kai Trump, dijangka bakal membuat penampilan sulungnya dalam Jelajah LPGA selepas menerima jemputan penaja kelmarin untuk kejohanan 13 hingga 16 November di Pelican Golf Club, Florida.
“Impian saya adalah untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia dalam Jelajah LPGA,” kata Kai Trump dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web LPGA.
“Kejohanan itu pasti menjadi pengalaman yang luar biasa. Saya teruja untuk bertemu dan bersaing dengan ramai wira dan mentor saya dalam sukan golf semasa membuat penampilan sulung di Jelajah LPGA,” tambahnya.
Pelajar tingkatan enam berusia 18 tahun itu, anak sulung Donald Trump Jr., berada di kedudukan 461 dalam American Junior Golf Association rankings dan telah membuat komitmen untuk bermain golf di peringkat kolej di University of Miami.
Beliau juga memiliki pengaruh kuat di media sosial, dengan jutaan pengikut di pelbagai platform.

Kejohanan AS$3.25 juta The ANNIKA at Pelican di Belleair, Florida, merupakan acara kedua terakhirdalam musim LPGA, yang akan berakhir dengan jelajah kejuaraan pada 20 hingga 23 November di Naples, Florida.
Kejohanan tersebut biasanya menarik pasukan pemain yang hebat dan dimenangi pada 2024 oleh bintang Amerika, Nelly Korda.
Jemputan penaja lain diberikan kepada pelajar tahun akhir Wake Forest University, Anne-Sterre den Dunnen dari Belanda dan pemain cemerlang Northwestern University, Lauryn Nguyen.
“Jemputan penaja merupakan cara penting untuk menonjolkan bakat baharu dan menarik perhatian kepada kejohanan kami serta LPGA,” kata Ketua Pegawai Operasi dan Perniagaan Jelajag LPGA, Ricki Lasky.
“Pengikut dan capaian luas Kai membantu memperkenalkan golf kepada penonton baharu, terutamanya kalangan peminat muda.
“Kami teruja melihat beliau melangkah ke tahap seterusnya dalam perjalanan kariernya dan kami bangga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami di Tampa Bay yang komited untuk memajukan sukan wanita, sekali gus meningkatkan LPGA dan memperluas keterlihatan kejohanan,” ujarnya. – AFP

