Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cukai mula dikenakan 1 September ini

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Cukai antara RM8 hingga RM150 akan dikenakan ke atas semua pengunjung yang berlepas dari Malaysia bermula 1 September ini, umum kerajaan Malaysia.

    Dalam arahan menteri yang diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 31 Julai, Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng menetapkan kadar cukai berlepas bergantung pada destinasi dan kelas penerbangan, Malay Mail melaporkan.

    Penumpang kelas ekonomi dari Malaysia ke negara-negara ASEAN akan dikenakan cukai RM8 sementara penumpang kelas lain akan dikenakan cukai RM50. Negara-negara ASEAN yang dimaksudkan berkenaan adalah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Manakala itu, penumpang ke negara-negara di luar rantau ASEAN akan dikenakan cukai RM20 bagi kelas ekonomi dan RM150 bagi kelas lain.

    Kelas ekonomi merujuk kepada penerbangan yang diiklankan dan dijual oleh syarikat penerbangan menggunakan terma ekonomi atau sebanding dengannya atau mempunyai harga paling rendah apabila dibandingkan dengan pakej-pakej lain, menurut Cukai Berlepas (Kadar Cukai Berlepas) Perintah 2019.

    Dalam arahan berasingan juga bertarikh 31 Julai, Menteri Kewangan Malaysia berkata, cukai berlepas berkenaan tidak akan dikenakan ke atas anak damit dan mereka yang berusia 24 tahun ke bawah atau pejalan kaki.

    Penumpang yang singgah di Malaysia tidak melebihi 12 jam juga dikecualikan daripada cukai berkenaan.

    Turut dikecualikan ialah kru yang bertugas di dalam mana-mana kenderaan (termasuk pesawat atau kapal) dan mana-mana

    yang memandu atau menaiki sebarang kenderaan bagi kegunaan peribadi (termasuk pesawat dan kapal) serta pembonceng atau penumpang kenderaan seumpamanya.

    Menurut arahan menteri berkenaan, kenderaan-kenderaan (air atau darat) kerajaan yang membawa penumpang dari Malaysia atau pengendali kenderaan komersial yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara carter bagi membawa pekerja ke pelantar minyak atau platform dikecualikan daripada mendaftar dan mengenakan cukai berlepas terhadap penumpang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda