“Jika mahu terus aktif, gunalah nama sendiri.”
Itu kenyataan ketua kumpulan VE, Zaf kepada Cham, Adeep Nahar, Hakim dan Fakriz yang menyarankan mereka menggunakan nama baharu jika mahu terus aktif selepas menyertai musim kesembilan program realiti, Gegar Vaganza (GV9).
Zaf memberi alasan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz bukanlah anggota asal kumpulan vokal berharmoni yang ditubuhkan sejak 1997 itu.
Sebaliknya, dakwa Zaf, VE diasaskannya bersama Shah dan Lah. Tambahnya, Cham menyertai VE pada 2000 disusuli Damian Mikhail pada 2003.
“Jika mahu terus bergiat aktif selepas GV9, tubuhlah kumpulan baharu tanpa menggunakan nama VE.
“Sebagai anggota asal kumpulan VE, saya tidak benarkan sesiapa pun mengakui mereka adalah ahli asal yang masih bertahan dalam VE.
“Itu semua mengarut… Jika betul ingin kembali aktif, gunalah nama sendiri. Saya yakin mereka sudah berjaya mengumpul peminat sendiri selepas 11 minggu berada dalam GV9.
“VE adalah VE… Semua orang tahu. Sekiranya mereka masih mahu menggunakan nama VE, mereka berdepan tekanan. Jadi, kenapa ingin mencari masalah?” katanya pada sidang media maya baru-baru ini.
Zaf menganjurkan sesi sidang media kerana terkilan dengan tindakan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz mewujudkan kumpulan aplikasi WhatsApp baharu sejak menyertai GV9 yang dianggap suatu tindakan mahu menyingkirkan dirinya. – Agensi
