Cukuplah bila hati disakiti – Yana

Tiga tahun menyulam cinta, siapa sangka hubungan cinta pasangan penyanyi Shalma Eliana, 21, dan Ismail Izzani, 21, yang luarannya nampak bahagia, namun, diakhiri dengan perpisahan.

Nyata, Shalma atau lebih dikenali dengan panggilan Yana dan Ismail yang saling mengenali sejak di bangku sekolah menengah itu hanya ditakdirkan serasi berkawan, bukannya pasangan hidup.

Kini, selepas lebih sebulan hubungan cinta berakhir, Shalma semakin seronok mengorak langkah tanpa cinta. Namun, kenyataannya itu seolah-olah Yana serik mahu bercinta lagi?

Bakal muncul menerusi drama Cheritera di TV9, Yana berkata, keadaannya okay walaupun masih dihambat kekecewaan selepas putus cinta.

“Alhamdulillah, saya sangat okay. Saya menyibukkan diri dengan menulis lagu dan banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan. Jujurnya, saya semakin seronok dapat memberikan fokus kepada diri sendiri.

Yana perlukan masa bersendirian sebelum memikirkan lamaran cinta lelaki. – Agensi

“Nak kata serik tidak, tetapi saya lebih selesa ‘go with the flow’. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Lagipun, saya masih muda, perjalanan hidup masih jauh. Mana tahu saya akan bertemu dan bercinta dengan lelaki yang boleh menjaga saya seumur hidup,” katanya.

Mengulas hubungan masih baik, adakah mahu memberi peluang kedua untuk memperbaiki perhubungan, Yana berkata, dia dan bekas kekasihnya itu masih boleh berkawan walaupun sudah tiada hubungan lagi. Namun, tidak mungkin untuk kembali bercinta.

“Saya merasakan kami lebih serasi menjadi kawan berbanding sebagai pasangan kekasih. Ismail, seorang rakan yang baik dan boleh jaga semua orang, jadi lebih baik kami berkawan sahaja.

“Lagipun, saya semakin seronok menjalani hidup sendirian mungkin disebabkan sudah lama bercinta. Jadi, saya perlukan masa bersendirian tanpa perlu memikirkan masalah atau menjaga kesihatan mental pasangan.

“Ismail pun sudah besar, jadi biarlah dia menjaga dirinya sendiri, saya pula fokus menjaga diri saya,” katanya.

Ditanya apakah kesilapan dilakukan Ismail terlalu besar sehinggakan tidak berfikir panjang mengakhiri perhubungan tanpa memberi ruang kepadanya berubah, penyanyi yang baru muncul dengan lagu Your Lost itu berkata, kesilapan dilakukan mungkin biasa sahaja bagi pandangan sesetengah orang.

“Namun, bagi saya, apa yang penting memahami antara satu sama lain dalam perhubungan.

“Saya sangat komited menjaga perhubungan apabila menyayangi seseorang. Saya akan sayang betul-betul. Tetapi, apabila hati disakiti, cukuplah. Lebih baik saya menjaga diri sendiri,” katanya. – Agensi