JAKARTA, 28 OGOS – Sebuah sekolah di pulau utama Indonesia telah mencukur sebahagian rambut lebih 10 orang gadis, kata guru besar sekolah itu hari ini, selepas mereka dituduh memakai tudung secara tidak betul.
Aktivis-aktivis berkata, pelajar Islam dan bukan Islam telah dipaksa selama bertahun-tahun untuk memakai tudung di bahagian konservatif negara kepulauan yang mempunyai 270 juta penduduk itu, yang pada 2021 bertindak mengharamkan sekolah daripada kod pakaian wajib tersebut.
Seorang guru tidak dikenali di SMPN 1 milik kerajaan negeri di bandar Lamongan Jawa Timur mencukur sebahagian rambut seramai 14 gadis Muslim pada Rabu lalu, kata guru besar Harto.
Harto berkata pihak sekolah telah memohon maaf dan guru tersebut telah digantung tugas.
Beliau berkata pelajar-pelajar berkenaan tidak memakai skarf di bawah tudung mereka, menyebabkan rambut mereka kelihatan.
“Tiada kewajipan bagi pelajar perempuan untuk memakai hijab, tetapi mereka dinasihatkan untuk memakai skarf dalaman untuk penampilan yang kemas,” kata Harto kepada AFP.
“Kami memohon maaf kepada ibu bapa dan selepas pengantaraan, kami mencapai persefahaman bersama.”
Pihak sekolah berjanji akan memberikan bantuan psikologi kepada pelajar, katanya. – AFP
