KUALA LUMPUR, 19 OKT – Polis sedang menyiasat sekiranya wujud penglibatan agensi perisikan luar berhubung kes penculikan warga Palestin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa sebuah akhbar tempatan semalam.
“Saya tidak boleh beritahu sama ada Mossad terlibat atau tidak kerana siasatan masih berterusan dan polis juga tidak pasti dari mana akhbar berkenaan memperoleh sumber sedemikian.
“Laporan akhbar berkenaan telah menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan polis berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.
Azmi berkata polis akan memanggil wakil dari akhbar berkenaan untuk diambil keterangan hari ini bagi membantu siasatan.– Bernama