Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Tujuh orang belia telah terpilih untuk mengikuti program latihan selama dua tahun dalam sektor tanaman menggunakan teknologi tinggi anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Projek Agriprenur Belia, CULTIV8 kohort pertama itu telah dirasmikan pada majlis yang berlangsung di BIBD Event Hall, CEE, Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini, dan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar selaku tetamu kehormat majlis.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Hajah Dahliana berkata, menjadi aspirasi KSSUP agar pengusaha pertanian tidak lagi perlu mencangkul tanah untuk menyediakan batas serta berjemur di bawah panas matahari bagi mengusahakan tanam-tanaman.
“Pihak kami lebih cenderung untuk menggalakkan bidang pertanian yang memanfaatkan kemajuan teknologi contohnya menggunakan polybags dan kaedah smart farming serta menggunakan teknologi Internet of Things (IOT),” ujarnya.
Beliau menambah, KSSUP sangat berharap persepsi masyarakat yang masih kurang yakin terhadap perusahaan pertanian ini boleh diubah, dan dibuktikan dapat menjana pendapatan yang tinggi dan berpotensi untuk menjadikan pengusaha sebagai jutawan.
“KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan menyedari, pengusaha-pengusaha yang bergiat dalam bidang pertanian pada masa ini secara purata berumur 60 tahun ke atas,” tekannya.
Perkara ini, ujar beliau, bukan saja dihadapi di negara ini malah di negara-negara lain di mana majoriti golongan pengusaha pertanian terdiri daripada warga emas iaitu kekhuatiran aging farmers.
Dalam hubungan ini, negara memerlukan golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.
Walaupun kementerian berusaha untuk menggalakkan pengusaha yang sedia ada bagi melibatkan anak-anak mereka sebagai pelapis untuk menyambung usaha kegiatan mereka, namun tidak ramai anak-anak mereka yang berminat bagi turut serta dan mengambil alih perusahaan perindungan mereka, tambah beliau.
Menurut Hajah Dahliana lagi, kementerian telah juga mula giat mencari dan menarik minat anak-anak muda untuk memulakan perusahaan bidang pertanian dan juga perikanan.
Selain program pendedahan belia, pihak kementerian juga berusaha untuk mendapatkan pihak-pihak ketiga yang berminat dan komited bagi menyediakan modal perniagaan untuk para belia sebagai start-up capital bagi memulakan perusahaan dalam bidang pertanian tanpa memerlukan cagaran aset atau penjamin.
“Ini kerana, anak-anak muda yang belum mempunyai sumber pendapatan dan pekerjaan juga belum mempunyai sebarang aset untuk dijadikan cagaran,” jelasnya.
Ke arah itu, BIBD telah mengambil inisiatif memperkenalkan CULTIV8 yang bertujuan untuk menarik minat para belia bagi menceburi sektor pertanian, agar mampu berdikari sendiri.
Ini adalah bagi menjana pendapatan lumayan serta dapat menyara kehidupan mereka yang mampan melalui perniagaan yang menguntungkan serta menyumbang kepada peningkatan hasil dan ekonomi negara dalam sektor pertanian.
Menurutnya lagi, projek itu juga melibatkan perusahaan pertanian menggunakan teknologi rumah terlindung yang boleh meningkatkan pengeluaran hasil setiap hektar tanah.
Beliau seterusnya menjelaskan, peserta projek itu akan menjalani latihan secara berfasa yang merangkumi latihan teori dan amali dalam pengurusan tanaman dan juga pengurusan kewangan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan BIBD.
Selain itu, para belia juga akan menjalani penempatan di ladang-ladang terpilih bagi mendapatkan pengetahuan secara hands-on untuk meningkatkan lagi kapasiti dan menambah pengalaman para belia.
Beliau seterusnya menyeru peserta belia untuk membuktikan projek ini akan berjaya dan dapat menjadi contoh serta memberi impak tinggi kepada ekonomi negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan antara lain bertujuan utama untuk mengasuh belia-belia yang berminat dan mempunyai kemahuan bagi bergiat dalam sektor tanaman menggunakan teknologi tinggi.
Pihak BIBD bersedia untuk menyediakan modal perniagaan bagi membangunkan ladang tanaman untuk belia-belia yang terpilih dan pembiayaan berkenaan termasuk pembukaan ladang, pembinaan rumah terlindung dan penyediaan bahan-bahan input penanaman.
Melalui projek itu, ia diharap akan dapat melahirkan belia-belia yang mampu berdikari sendiri dan menjadi usahawan pertanian yang berjaya yang mampu menjana sara diri yang mampan, serta berupaya dalam membantu mempelbagaikan ekonomi negara secara amnya.