Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cungkil bakat membaca Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Haji Saiful Bahrin bin Haji Mohd Yusof dan Hajah Norhayati binti Haji Ahmad diumumkan sebagai juara kategori masing-masing dalam Musabaqah Membaca Al-Quran bagi Pelajar Kelas Bimbingan Taranum Al-Quran Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

    Manakala itu, Dayang Madyah binti Lias menjuarai Pertandingan Membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Lazim Secara Murattal bagi Muslimah Masjid, Surau dan Balai Ibadat Daerah Brunei dan Muara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam itu ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Bagi Musabaqah Membaca Al-Quran, tempat kedua kategori taranum lelaki dimenangi oleh Haji Muhammad Adam bin Haji Rosli dan Awangku Yura Alif bin Pengiran Yusofe di tempat ketiga.

    Seterusnya, tempat kedua bagi teranum perempuan pula disandang oleh Hajah Nurul Izzatulnasrah binti Haji Mohd Kassin dan tempat ketiga dimenangi oleh Hajah Amidah binti Ghafar.

    ATAS & BAWAH: Haji Amir Hisham menyampaikan hadiah kepada johan Kategori Lelaki (kiri) dan johan Kategori Perempuan pada majlis tersebut.

    Manakala itu, tempat kedua pertandingan membaca Surah Al-Fatihah dan surah lazim secara murattal pula disandang oleh Dayang Noraintan bin Haji Mohd Said dan Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Bakar di tempat ketiga.

    Musabaqah anjuran jawatankuasa takmir dan Muslimah Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid itu diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 Tahun.

    Antara tujuannya adalah untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat peserta pertandingan, di samping menyemai keyakinan dan membiasakan diri para peserta dalam menyertai sebarang pertandingan membaca Al-Quran sekali gus menarik minat orang ramai umumnya untuk mendalami seni bacaan Al-Quran secara murattal atau taranum dengan mengikut kaedah yang sebetulnya.

    Ia juga diadakan untuk mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan para peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda