Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cungkil bakat membaca Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seramai 44 orang kanak-kanak dalam kalangan murid kelas Al-Quran dan muqaddam di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara telah tampil menyertai Pertandingan Membaca Surah Al-Fatihah dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim, baru-baru ini.

    Ia diadakan dalam usaha memupuk minat dalam kalangan murid berkenaan agar celik Al-Quran dan menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian yang berterusan.

    Pertandingan yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A bagi peserta lelaki dan perempuan yang berumur tujuh tahun hingga sembilan tahun, manakala Kategori B bagi peserta lelaki dan perempuan berumur 10 tahun hingga 12 tahun.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Pemenang pertama bagi Kategori A lelaki dan perempuan, Awang Syuraih Rafiuddin bin Shah Ali Muhammad dengan Markah 91.5 peratus manakala Dayang Nur Husnina Ameerah binti Haji Sudirman mengumpul 92.5 peratus.

    Sementara pemenang tempat pertama bagi Kategori B lelaki dan perempuan pula, Awang Muhammad Nur Ikhwan @Zaquan bin Saban dengan markah keseluruhan 96 peratus dan Dayang Siti Nur Ameera Syahirah binti Mohammad Azim berjaya mengumpul 88.5 peratus.

    Pertandingan anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Bahagian Imarah dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dibukakan bagi kelas Al-Quran dan muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara 1445H/2023M.

    Antara tujuan pertandingan adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna di samping bagi mencungkil bakat murid-murid kelas Al-Quran dan muqaddam.

    Selain menjadikan Al-Quran sebagai teman dalam kehidupan, ia juga dihasratkan untuk menarik minat lebih ramai kanak-kanak bagi mengikuti apa jua aktiviti yang dijalankan di masjid-masjid khususnya kelas Al-Quran dan muqaddam yang secara tidak langsung menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.

    Haji Mohammad Rosli menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bagi kategori perempuan pada majlis berkenaan. – Gambar serahan KHEU
    Haji Mohammad Rosli menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda