Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cungkil bakat reka cipta dan inovasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Penganjuran Pertandingan Cabaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Inovasi Reka Bentuk merupakan inisiatif bagi menyediakan landasan kepada para pelajar untuk mempamerkan kreativiti, daya reka cipta, inovasi dan semangat keusahawanan yang mempunyai impak yang signifikan ke arah kompetensi yang diperlukan dalam era Revolusi Industri ke-4 dan Pendidikan 4.0.

    Pertandingan itu juga mampu untuk mempersiapkan generasi muda memenuhi keperluan pembangunan modal insan yang bertaraf global, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Zulkifli bin Haji Mohd Yusuf dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-3 bagi 2019.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini, ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pengetua-pengetua, guru, para pelajar dan jemputan khas.

    Haji Zulkifli berkata, pertandingan itu bermatlamat untuk mencungkil bakat reka cipta dan inovasi dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyampaikan hadiah kepada juara keseluruhan Kategori Kelas Senior, Pasukan Rapido dari Universiti Teknologi Brunei.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah diberikan penerangan mengenai pertandingan berkenaan serta melawat dan beramah mesra dengan para pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

    “Matlamat ini selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan untuk memupuk minat pelajar dalam bidang-bidang tersebut, ke arah merealisasikan Wawasan 2035 iaitu mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya diukur melalui piawaian tertinggi antarabangsa,” jelasnya lagi.

    Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum dengan kerjasama UTB dan Pusat STEP itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Kelas Junior bagi pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah dan Kategori Kelas Senior bagi pelajar-pelajar pusat tingkatan enam dan IBTE serta mahasiswa-mahasiswi UTB.

    Sebanyak 24 buah pasukan menyertai pertandingan berkenaan di mana sebanyak 17 pasukan menyertai Kategori Kelas Junior dan tujuh pasukan menyertai Kategori Kelas Senior.

    Pertandingan itu dihasratkan untuk menyediakan landasan kepada para pelajar untuk mempamerkan kreativiti, daya reka cipta, inovasi dan semangat keusahawanan, mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran daripada cabaran itu ke dalam mata-mata pelajaran berhubungan dengan STEM dan mata-mata pelajaran yang lain termasuk Bahasa Inggeris dan keusahawanan serta untuk mendedahkan para pelajar kepada kompetensi yang diperlukan dalam era Revolusi Industri ke-4 dan Pendidikan 4.0.

    Dalam pertandingan itu, juara keseluruhan bagi Kategori Kelas Junior dimenangi oleh Pasukan Victorious Overdrive dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong dan juara keseluruhan bagi Kategori Kelas Senior disandang oleh Pasukan Rapido dari UTB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda