Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cungkil bakat si cilik dalam bidang seni

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Pertandingan Bintang Kecil yang mula diperkenalkan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB) pada 1978 kini telah mencapai tahun ke-40 dalam usahanya untuk memberikan landasan bagi mengetengahkan dan mencungkil bakat kanak-kanak di negara ini dalam bidang seni suara, pengacaraan dan seni tarian.

    Mengulas mengenai perkembangan Pertandingan Bintang Kecil selama 40 tahun, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman berkata, ia telah banyak membantu mencungkil bakat-bakat muda terutamanya dalam bidang seni suara.

    “Industri kreatif di negara ini perlu dipertingkatkan dan digalakkan terutama bagi para generasi muda untuk memperkembangkan kemahiran serta bakat mereka malah ia turut dapat membantu meningkatkan keberanian mereka untuk berdepan dengan khalayak seperti bercakap, melakukan persembahan dan sebagainya,” ujar Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty lagi ketika ditemui pihak media semasa Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Akhir ke-40, kelmarin.

    Salah seorang juara Pertandingan Bintang Kecil yang dilihat berjaya menempah nama dalam bidang industri seni suara sehingga menembusi ke pasaran luar negara ialah Aziz Harun yang merupakan juara tahun 2009.

    Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty semasa ditemui pihak Media Permata.
    Aziz Harun merupakan juara Pertandingan Bintang Kecil 2009.

    Penyanyi yang kini berusia 19 tahun itu telah menjadikan Pertandingan Bintang Kecil sebagai landasan baginya untuk mula aktif menyanyi dan mendapat keyakinan diri dalam melakukan persembahan di atas pentas.

    Beliau ketika ditemui berkata, “Dengan dukungan dari seluruh ahli keluarga dan usaha yang berterusan saya pernah beberapa kali mewakili Negara Brunei Darussalam dan berjaya memperolehi beberapa kemenangan dan anugerah yang antaranya pada tahun 2016 apabila saya memenangi Lagu Kaloborasi Terbaik di Anugerah Planet Muzik menerusi lagu yang berjudul ‘Beautiful’.”

    Sepanjang perjalanan Pertandingan Bintang Kecil selama 40 tahun, ramai penggiat seni tanah air yang lahir daripadanya yang juga telah banyak menyumbang dalam membanggakan Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Oleh itu beliau berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa yang akan datang agar dapat melahirkan lebih ramai lagi penyanyi-penyanyi atau penggiat seni di negara ini untuk mengharumkan nama negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda