Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dua beradik yang melakukan jenayah curi di sebuah pasar raya dijatuhi hukuman denda $1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.
Jamilah binti Mohd Roslan, 30, dan adiknya, Mira Maryana binti Mohd Roslan, 22, dari Malaysia didakwa melakukan kesalahan itu dari Pasar Raya Giant, Kampung Rimba pada 26 April 2018 kira-kira jam 10:26 pagi.
Jamilah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri barang kelengkapan peribadi, pengharum bilik, cermin dan baju dalam manakala Mira juga mengaku bersalah mencuri seluar dalam, set pakaian dan stoking anak damit.
Fakta kes menyebut, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja itu memasukkan barang yang dicuri ke dalam beg masing-masing.
Sebelum keluar dari pasar raya itu, tertuduh ditahan oleh pengawal keselamatan yang membuat pemeriksaan ke atas beg mereka.
Jika gagal membayar denda, Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman memerintahkan mereka untuk menjalani hukuman sebulan penjara.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.