Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Gara-gara tidak menerima nafkah, seorang wanita berusia 32 tahun bertindak untuk mencuri bateri kereta milik bekas suaminya atas alasan ‘sakit hati’.
Maslina binti Ismail, 32, bersama tiga rakannya, Awangku Mohammad Ibnu bin Pengiran Haji Othman, 30, Pengiran Zulfadli bin Pengiran Ahmad Pedilah, 31, dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mencuri bateri kereta itu daripada sebuah kereta yang diletakkan di kawasan letak kereta RPN Mentiri, antara jam 6:15 dan 6:50 petang pada 9 Februari 2018.
Pengiran Zulfadli telah mendapatkan pembeli bateri kereta itu dan menjualnya pada harga $40 dan memberikan kesemua wang jualan itu kepada Maslina.
Bekas suami Maslina terlebih dahulu terlihat Maslina mengiklankan bateri kereta itu dalam Facebook dan mengesyaki bekas isterinya turut terlibat dalam kes curi itu. Bekas suaminya kemudian membuat laporan polis.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.
Awangku Mohammad Ibnu untuk kes berasingan juga mengaku bersalah bagi pertuduhan secara tidak jujur mengakui kereta kepunyaan orang lain sebagai miliknya bagi tujuan untuk dijual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari 2018 kira-kira jam 11:30 pagi di Jalan Tungku Link apabila cuba menjual kereta itu pada harga $300.
Pemilik kereta yang bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku telah membuat laporan polis apabila Awangku Mohammad Ibnu yang meminjam keretanya pada 30 Januari 2018 belum mengembalikan kereta tersebut.
Polis menemui kereta itu di sebuah rumah di Jalan Tungku dan dikenal pasti oleh pemiliknya.
Majistret Kanan Pengiran Masni menetapkan 7 Mac untuk sebutan hukuman kesemua tertuduh.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.