Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi beg, lelaki masuk lokap

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Mahkamah Majistret kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan ke atas seorang warga tempatan berusia 41 tahun kerana mencuri beg, baru-baru ini.

    Fazri bin Ibrahim mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mengakui kenyataan fakta yang dikemukakan oleh Pendakwa, Ahmad Firdaus bin Mohammad.

    Majistret, Harnita Zelda Skinner mendengarkan bahawa Fazri, yang telah berkahwin dan mempunyai 13 orang anak, pergi ke kedai perkakasan dengan isteri dan tiga anaknya menunggu di dalam kereta sementara dia masuk untuk mencari engsel pintu. Pada pukul 1:45 petang 1 Februari lalu, defendan mencari pembantu stor tetapi tidak berjaya.

    Dia berjalan keluar dari kedai ke keretanya, tetapi ternampak beg sandang tertinggal pada baldi cat di luar kedai. Dia masuk ke dalam keretanya, berfikir untuk mencuri beg itu dan masuk semula ke dalam kedai.

    Apabila melihat tiada sesiapa di sekelilingnya, dia keluar semula dan membawa beg itu bersamanya.

    Beberapa ketika kemudian, defendan menyelongkar beg itu dan mengambil wang tunai $390, kemudian membuang beg itu bersama-sama kandungannya yang lain ke dalam longkang besar di Tanah Jambu.

    Kamera CCTV merakam perbuatan defendan mengambil beg itu dan ini membantu dalam siasatan yang membawa kepada penahanannya apabila pemilik beg itu membuat laporan.
    Pemilik mengalami kerugian berjumlah $1,013.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda