Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi derma di masjid guna kod QRIS

    JAKARTA, 13 APRIL – Bulan Ramadan merupakan masa berjuta umat Islam Indonesia berbakti kepada masyarakat dengan menganjurkan acara amal atau bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

    Tetapi seorang lelaki di Jakarta telah dituduh mengambil kesempatan daripada kebaikan itu untuk mengisi poketnya sendiri. Polis berkata dia pergi ke berpuluh-puluh masjid di ibu negara untuk menyalurkan derma terus ke akaun banknya sendiri.

    Lelaki terbabit, Mohammad Iman Mahlim Lubis telah dituduh menggantikan kod amal Quick Response Indonesia Standard (QRIS) masjid, yang boleh diimbas dengan telefon pintar untuk membuat pembayaran tanpa tunai, dengan kod yang disambungkan ke akaun banknya yang baru dibuat, dinamakan ‘Pemulihan Masjid’.

    Bercakap kepada media pada Selasa, pengarah Polis Jakarta bagi siasatan jenayah khas, Auliansyah Lubis berkata Iman, yang ditahan pada Selasa, telah meletakkan kod QR palsu sejak 1 April dan ia telah ditemui di kira-kira 38 buah masjid di kawasan Jabodetabek, termasuk di masjid terbesar ibu kota, Istiqlal.

    Dia juga didakwa meletakkan kod tersebut di beberapa bilik solat di pusat beli-belah di Jakarta, termasuk Pondok Indah Mall di Jakarta Selatan dan Grand Indonesia Mall di Jakarta Pusat.

    Pihak berkuasa dimaklumkan oleh pihak pengurusan Masjid Nurul Iman di pusat beli-belah Blok M Square, Jakarta Selatan, yang telah menemui kod QRIS meragukan di dinding masjid.

    “(Iman) sama ada menampal kod QRIS pada kod masjid itu atau menampal kodnya sendiri di sebelahnya. Dia juga menampalnya di dinding atau tempat lain yang tidak mempunyai kod QRIS sebelum ini,” kata Auliansyah sambil menambah, polis turut merampas berpuluh-puluh kod QRIS yang dicetak semasa mereka menahan Iman.

    Auliansyah berkata siasatan sedang dijalankan dan polis sedang berusaha untuk menentukan sama ada Iman mempunyai rakan sejenayah.

    Penyiasat kelmarin berkata bahawa Iman telah menyalurkan sekurang-kurangnya Rp13 juta (AS$873) sumbangan ke dalam akaun banknya sendiri. – ANN/Jakarta Post

    Seorang lelaki di Jakarta didapati menukar kod sumbangan di berpuluh-puluh masjid dengan kod yang disambung ke akaunnya sendiri. – ANN/Jakarta Post
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda