Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Dua lelaki, masing-masing dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri.
Muhammad Zakwan Asyraf bin Haji Zainal, 23, dan Muhd Dzuljalal Ikwan bin Omar Ali, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin kerana memecah masuk sebuah rumah di Jalan Istana Nurul Izzah, Kampung Jerudong pada 23 Ogos 2017.
Kedua-dua tertuduh mengambil peluang untuk mencuri apabila mendapati rumah itu tidak berpenghuni.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi memaklumkan mahkamah bahawa pemilik rumah ketika itu pergi bercuti sejak 21 Ogos 2017.
Ahli keluarga kepada pemilik rumah hanya menyedari rumah itu telah dimasuki dan barang-barang diselongkar apabila datang untuk melihat keadaan rumah pada 23 Ogos 2017.
Tertuduh mencuri cakera padat, beberapa koleksi album mata wang, Macbook Air serta pengecas, dua jam tangan dan kunci.
Mereka kemudian menjual barang-barang curi dan memperolehi $220 serta menjual Macbook pada harga $120.
Polis berjaya menemui semula barang-barang curi itu daripada simpanan tertuduh, pembeli dan juga daripada teman wanita Muhammad Zakwan.