TOKYO, 7 OKT – Mahkamah di Tokyo telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap seorang bekas pekerja di salah sebuah bank terbesar Jepun kerana berulang kali mencuri jongkong emas dan wang tunai bernilai hampir AS$2.6 juta, dengan menyifatkan jenayahnya sebagai ‘amat keji’.
Yukari Yamazaki, yang pernah bekerja di Bank Mitsubishi UFJ dan mengalami ketagihan judi, mula mencuri selepas dibelenggu hutang akibat dagangan mata wang dan pertaruhan lumba kuda, menurut keputusan mahkamah yang dilihat AFP hari ini.
Dengan menyalahgunakan kedudukan serta pengetahuannya terhadap sistem dalaman bagi melumpuhkan sistem keselamatan, Yamazaki mencuri jongkong emas bernilai lebih 330 juta yen dan lebih 60 juta yen dalam bentuk tunai daripada peti simpanan
“Keadaan yang mengelilingi jenayahnya begitu keji sehingga jarang sekali pernah disaksikan sebelum ini,” tulis hakim Mahkamah Daerah Tokyo, Hironobu Ono, dalam keputusan penghakiman yang dibacakan kelmarin. – AFP


