Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seorang suami yang mengaku bersalah kerana mencuri dijatuhi hukuman denda $1,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Jika Adi Sabirin bin Haji Abu Bakar, 34, gagal membayar denda itu, dia diperintahkan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman untuk menjalani penjara selama sebulan.
Dia didakwa mencuri barangan dapur, kelengkapan dandanan diri, pakaian dan beg dari Pasar Raya Giant, Kampung Rimba pada 4 Februari 2017.
Menurut fakta kes, tertuduh yang tidak bekerja memasukkan kesemua barangan yang berjumlah $285.87 itu ke dalam troli dan keluar tanpa membuat sebarang pembayaran.
Dia ditahan di kawasan letak kereta oleh dua pengawal keselamatan yang menyoalnya mengenai barangan dalam troli itu.
Pemeriksaan mendapati barang dalam troli itu tidak mempunyai pelekat ‘PAID’ yang menandakan pembayaran sudah dibuat.
Tertuduh kemudian dilaporkan kepada pihak polis di mana dia mengaku mencuri barang-barang itu.