Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi: Lelaki dipenjara 30 bulan

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi hukuman 30 bulan penjara terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun atas empat pertuduhan melakukan curi.

    Hukuman diputuskan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim terhadap Awangku Abdul Malek bin Pengiran Idrus yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

    Untuk pertuduhan pertama, tertuduh telah didakwa mencuri satu telefon bimbit Samsung Note 2 dari sebuah rumah di Kampung Lambak Kanan B antara jam 11 pagi dan 12 tengah hari pada 13 November 2018.

    Siasatan polis mendapati telefon bimbit itu telah dijual pada harga $60 dan hasilnya dibahagi antara tertuduh dan rakannya. Tertuduh menggunakan wang yang diperolehi itu untuk perbelanjaannya.

    Pertuduhan kedua dan ketiga pula menyebut, tertuduh turut mencuri satu beg silang jenama Gucci yang mengandungi alat solek dan satu lagi

    beg galas jenama Puma yang mengandungi dompet, kad pengenalan, kad ATM, telefon bimbit Vivo dan kad SIM DST dari sebuah kompleks membeli-belah di Manggis pada 20 November 2018 antara jam 12:45 tengah hari dan 5:15 petang.

    Pemilik kedua-dua beg yang bekerja sebagai jurujual di kompleks membeli-belah membuat laporan polis sebaik mendapati beg mereka, yang diletakkan berdekatan tangga, telah hilang.

    Siasatan mendapati telefon bimbit Vivo itu telah dijual pada harga $110.

    Untuk tuduhan keempat, dia didakwa mencuri satu televisyen jenama Matrix; konsol PS4; empat permainan video PS4; sepasang kasut sukan Adidas dan satu radio kecil dari sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas antara 24 Mac 2019 jam 7:30 pagi dan 28 Mac 2019 jam 1:30 petang.

    Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda