Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seorang lelaki tempatan yang hadir di mahkamah tanpa penyesalan atas jenayah yang dilakukannya telah dijatuhi hukuman penjara selama 32 bulan berserta dua kali sebatan setelah mengaku bersalah pada Sabtu lepas.
Sukardi bin Ahad melakukan kesalahan pecah rumah pada waktu malam di kawasan di Kampung Tanah Jambu untuk tujuan mencuri kira-kira jam 3 pagi pada 24 Ogos lalu.
Hakim Mahkamah Perantaraan, Raden Safiee bin Radin Mas Basiuni menjatuhkan hukuman selepas mengambil pertimbangan akan keadaan tertuduh.
“Nampaknya tertuduh tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarganya kerana dia tinggal bersama sepupunya, dan kekurangan sokongan keluarga adalah cukup jelas,” kata hakim.
Ia mungkin disebabkan dia telah beberapa kali menyinggung perasaan keluarganya yang menyebabkan mereka tidak menerima baik dirinya, tambah mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Aeny Zullizam mendedahkan di mahkamah bahawa tertuduh mempunyai rekod sabitan kesalahan berkaitan curi dari tahun 2009, 2013 dan 2019.
Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, tertuduh telah mencuri sebuah pemancut air dan tangga aluminium.
Dia kemudian melarikan diri melalui hutan berhampiran menuju ke rumahnya. Manakala di sebelah petang, apabila pemilik rumah pulang ke rumah dan mendapati barangnya hilang dia terus membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh, namun barang yang hilang tidak ditemui.