Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Mahkamah Majistret kelmarin telah memerintahkan seorang lelaki warga tempatan menyelesaikan denda $1,500, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan mencuri di sebuah kedai.
Adi Sahirunwandi bin Sahbudin, 37, perlu menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Defendan mempunyai rancangan untuk menjual semula barang curi itu untuk mendapatkan dana bagi membaiki keretanya, menurut Pendakwa Abdul Musawwir bin Haji Awang Mahali.
Dengan rancangan itu, defendan meninggalkan rumah bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun ke sebuah gedung membeli-belah di Mulaut pada pukul 5 petang 14 Ogos.
Defendan membawa bersamanya beg kitar semula lalu mengambil troli dan berkeliling mencari barangan runcit bersama anaknya. Dia kemudiannya memindahkan barang-barang itu ke dalam beg beli-belahnya.

Majistret Nur Eleana selanjutnya mendengarkan pihak pendakwaan yang mendedahkan bahawa antara barangan makanan yang diambil defendan kebanyakannya ialah daging beku dan defenden juga mengambil minuman dalam tin semasa keluar dan membayarnya.
Sebelum dia sempat keluar dari kedai, dua pekerja di kedai itu meminta bukti pembayaran defendan untuk barang-barang di dalam beg itu.
Pendakwa Kamal Ariffin Ismail yang turut mewakili pendakwa raya dalam kes itu menambah, defendan tidak menjawab dan dibawa ke tempat pemunggahan yang berada di belakang kedai.
Seorang pegawai bertugas telah dimaklumkan dan menyoal defendan dan dia merayu agar mereka melepaskannya.
Tidak lama selepas itu, defendan berlari ke arah pintu keluar tetapi ditahan semula oleh pekerja kedai. Polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut yang kemudian datang untuk menangkap defendan.

