Wednesday, November 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi pelbagai barangan, tiga lelaki tempatan dihukum penjara

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Tiga lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman penjara kerana terlibat dalam pelbagai kecurian di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam beberapa siri keputusan yang dijatuhkan minggu lalu.

    Defendan, Mohd Sadiman bin Haji Ahmad, Mohd Irfan bin Abdul Rahman dan Mohammad Izyan Akmal bin Khairol Asyraf, mengaku bersalah atas beberapa jenayah yang dilakukan di dalam Bangunan Fakulti Sains.

    Mohd Sadiman, seorang penganggur berusia 30 tahun, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Hakim Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah pada 2 Julai lalu.

    Manakala rakan subahatnya, seorang anggota beruniform, Mohd Irfan, 29 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada hari yang sama. Defendan ketiga, Mohammad Izyan Akmal, 27, yang bekerja sebagai pemandu di sebuah hotel pada masa jenayah, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail pada 4 Julai.

    Pendakwa Raya Nur Zahidah Farhanah binti Abdul Aziz mendedahkan di mahkamah bahawa siri kecurian berlaku pada 21 Mei, apabila ketiga-tiga lelaki itu memutuskan untuk memulakan apa yang dirujuk oleh mereka sebagai ‘projek’ di Bangunan Fakulti Sains.

    Gambar Generic

    Pada petang itu, Mohd Irfan membawa rakan subahatnya ke kawasan sekitar bangunan dengan menaiki keretanya. Selepas memastikan kawasan itu kosong, Mohd Irfan memasuki bangunan itu dan mencuri mesin Automated External Defibrillator (AED). Rakannya pula tinggal di dalam kereta, bertindak sebagai pemerhati.

    Mohd Irfan terus memasuki dalam bangunan, mencuri pelbagai barangan dari sebuah pejabat, termasuk mesin laminat, wang tunai dan juga minuman ringan dalam tin. Sementara itu, Mohammad Izyan memecah masuk makmal dan mencuri pencetak, projektor dan komputer riba. Mohd Sadiman kemudian menyertainya, mencuri lebih banyak barangan dari makmal.

    Keesokan harinya, kakitangan universiti mendapat tahu tentang kecurian itu dan melaporkan kejadian kepada polis. Siasatan seterusnya membawa kepada penemuan kebanyakan barang yang dicuri dari rumah Mohd Irfan, kecuali mesin AED, minuman ringan dalam tin dan wang tunai yang dicuri.

    Selain pertuduhan tersebut, Mohd Sadiman dan Mohd Irfan juga didapati bersalah mencuri pemampat penyaman udara dari sebuah gudang UBD pada 15 Mei. Mereka membuka bahagian pemampat dan menjualnya pada harga $148, menggunakan wang hasil yang diperoleh untuk perbelanjaan peribadi.

    Dalam kejadian berasingan, Mohd Sadiman juga mencuri sebuah TV Xiaomi 65 inci dari premis universiti pada bulan Mei.

    Turut didedahkan Mohd Sadiman telah mencuri peti pertolongan cemas Fakulti Sains pada 20 Mei, dan merosakkan bingkai pintu bilik Makmal Sains Kimia ketika cuba memecah masuk.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda