Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Seorang penganggur dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menerima barang curi dan melakukan curi.
Mohd Noorhafiez bin Mohammad, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman. Tertuduh didakwa menerima barang curi berupa ‘mixer’ jenama Pevy milik Jabatan Bandaran di bangunan letak kereta bertingkat di ibu negara pada 25 Mac 2017.
Dia juga dituduh mencuri sebuah motosikal Yamaha dari kawasan letak kereta di kawasan Kiulap pada 21 Mac 2017.
Tertuduh menerima barang curi itu daripada seorang lelaki yang memberinya secara percuma yang mana tertuduh mengetahui bahawa barang itu adalah barang curi. Tertuduh kemudian menjual mixer Pevy itu pada harga $30 dan turut menerima pek syabu. Tertuduh juga menjual motosikal yang dicurinya pada harga $150 selepas menyembur cat hitam pada motosikal itu.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menerima $100 daripada pembeli yang akan membayar bakinya selepas kad biru motosikal diberikan kepadanya.