Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi: Remaja dihukum penjara, sebat

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun telah dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan berserta 12 sebatan, hari ini, setelah dia mengaku bersalah melakukan rompakan di sebuah kedai serbaneka di Kampung Mata-Mata pada Januari lalu.

    Peguam bagi Muhammad Danish Iliya Zunnarain Al-Mukminin bin Abdullah, Daud Ismail dari firma dengan namanya sendiri merayu agar Mahkamah Perantaraan menjatuhkan hukuman perintah percubaan terhadap defendan.

    Peguam itu memetik usia anak guamnya yang masih muda dan rekodnya yang bersih. Hakim Harnita Zelda Skinner mendapati tiada sebab untuk menjatuhkan hukuman yang dicadangkan, dan sebaliknya mempertimbangkan keseriusan kesalahan yang memerlukan hukuman pencegahan.

    Pendakwa Raya Kamal Ariffin Ismail mendedahkan bahawa kira-kira 2 pagi pada 10 Januari lalu, defendan pergi ke kedai serbaneka tersebut dan meletakkan kenderaan secara berundur, meninggalkan enjin hidup untuk melarikan diri.

    Dia mengambil setin minuman dan bertanya kepada penjaga kedai wanita Indonesia berusia 25 tahun itu sama ada dia boleh membayarnya sebanyak 80 sen.

    Gambar hiasan Freepik

    Pekedai tersebut enggan, dan melihat perkara itu, defendan sebaliknya mengambil sekotak minuman dengan harga 70 sen. Dia kemudian mengambil gula-gula berharga 10 sen.

    Defendan kemudian meminta beg plastik untuk membawa barang yang dibelinya dan telefon bimbitnya.

    Ketika itu dia tiba-tiba mengeluarkan pisau dari poket belakangnya dan mengacukannya ke arah pekedai.

    Defendan kemudiannya menyuruh mangsa menyerahkan wang dan membuka mesin daftar tunai. Kerana bimbang akan nyawa dan keselamatannya, mangsa membuka mesin daftar tunai dan defendan kemudian mengambil wang kertas $100 dan 21 wang kertas $10 (berjumlah $310) dan memasukkannya ke dalam beg plastik putih tersebut.

    Ketika defendan hendak keluar dari kedai, dia kembali menemui mangsa dan cuba merampas telefon bimbitnya. Pergelutan berlaku antara mangsa dan defendan, yang ketika itu masih memegang pisau.

    Defendan gagal mengambil telefon bimbit itu, berlari ke arah keretanya dan meninggalkan kedai. Mangsa terus berlari ke arah rakan sekerjanya yang kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurus yang kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama.

    Siasatan oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) membawa kepada penemuan penglibatan defendan dan penahanannya pada 11 Januari.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai yang menunjukkan perbuatan defendan membantu siasatan. Difahamkan juga bahawa defendan telah menukar nombor plat sebelum pergi ke kedai itu dan selepas rompakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda