Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Curi semakin berleluasa tanpa bantuan’

    MANILA, 21 DIS – Gabenor wilayah tengah Filipina berdukacita dengan kejadian taufan Rai minggu lalu dan hari ini menyeru pihak kerajaan untuk menghantar bantuan makanan dan lainnya, memberi amaran tanpa bantuan luar, pihak tentera dan polis akan terpaksa dikerahkan untuk menghalang kejadian curi akibat kelaparan.

    Gabenor Arthur Yap dari wilayah Bohol berkata dia tidak lagi mendapatkan bantuan beras dan makanan selepas dana kontingensinya kehabisan dan menambah bahawa 1.2 juta penduduk di wilayah itu, yang tanpa bekalan elektrik dan terputus hubungan sejak lima hari selepas taufan melanda, semakin terdesak.

    Taufan paling kuat yang melanda kepulauan Filipina pada tahun ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 375 orang terkorban dan 50 lagi masih hilang, kebanyakannya di wilayah tengah, termasuk hampir 100 terkorban di Bohol, menurut pegawai.

    Presiden Rodrigo Duterte mengunjungi Bohol pada hujung minggu dan menyaksikan kemusnahan. Yap berkata jabatan kebajikan masyarakat kerajaan berjanji untuk menghantar 35,000 pek makanan, jumlah yang tidak mencukupi bagi 375,000 buah keluarga, tetapi bantuan tersebut masih belum diterima.

    Dalam temu bual bersama rangkaian radio DZBB, Yap berterima kasih kepada Duterte atas lawatan ke wilayahnya namun berkata, “Sekiranya dana tidak dihantar untuk mendapatkan makanan, pihak tentera dan polis terpaksa dikerah kerana kecurian akan berleluasa.”

    Beberapa kejadian curi kebanyakannya berlaku di kedai-kedai kecil, kata Yap, namun menambah situasi kekal terkawal. Tetapi dia memberi amaran ia akan bertambah buruk sekiranya penduduk, terutama yang tinggal di tempat terjejas, semakin terdesak. Orang ramai tidak dapat mengeluarkan wang dari bank tanpa perhubungan telefon bimbit dan tenaga, serta kekurangan bekalan minyak dan air turut menyebabkan barisan panjang, katanya. – AP

    Mangsa bencana taufan Rai beratur untuk mendapatkan makanan di Bandar Surigao. Yap berkata kejadian curi akan bertambah buruk sekiranya bantuan tidak disalurkan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda