Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi: Tertuduh dipenjara 12 bulan

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seorang lelaki yang menukar pengakuannya kepada bersalah atas tuduhan mencuri alat pemampat udara dan mesin pemotong rumput dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Tertuduh, Mohd Asri bin Abdullah, 35, yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Telisai, Tutong pada 9 Ogos 2018 kira-kira jam 3 pagi.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman ketika menjatuhkan hukuman berkata, kesalahan tertuduh adalah serius tambahan lagi dia melakukan curi itu pada awal pagi ketika pemiliknya sedang tidur, yang mana dia turut menyifatkan tertuduh seorang yang tidak baik kerana dia mempunyai kesalahan lampau melibatkan curi sejak tahun 2002 hingga 2016.

    “Masalah kewangan bukannya alasan untuk melakukan curi dan hukuman penjara adalah wajar sebagai bentuk pencegahan,” tegas Majistret Hajah Ervy.

    Menurut fakta kes, selepas melakukan curi, tertuduh pada keesokan harinya memberitahu rakannya yang tinggal di perumahan Telisai bahawa dia ingin menjual alat pemampat udara dan mesin pemotong rumput.

    Tidak lama kemudian, rakan tertuduh menerima panggilan daripada kejiranan di kawasan perumahan itu, yang menanyakan jika ada sesiapa ingin menjual pemampat udara dan pemotong rumput.

    Menyedari barang itu adalah barang curi, rakannya terus membawa tertuduh untuk mengembalikan barang itu kepada pemiliknya.

    Tertuduh kemudian ditahan oleh kejiranan kampung. Tertuduh mengaku mencuri barangan itu dengan tujuan untuk menjual dan mendapatkan wang.

    Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda