Curi: Tukang masak mengaku bersalah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seorang tukang masak di sebuah kafe telah mengaku bersalah atas kesalahan menceroboh bagi tujuan mencuri, di Mahkamah Perantaraan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Syazwani binti Jumat memaklumkan mahkamah bahawa Zool Amali bin Mahari, 37, memecah masuk sebuah rumah pekerja di kawasan komersial Kampung Kiulap pada malam 10 Jun dan mencuri sebuah komputer riba serta telefon bimbit.

Kemudian, pada sebelah pagi 12 Jun, tertuduh mengulangi perbuatan tersebut dengan memecah masuk ke rumah pekerja lain juga di kawasan sama dan mencuri dua buah telefon
bimbit.

Mangsa pada kejadian curi pertama menyedari kehilangan barangnya dan membuat laporan polis.

Namun kejadian kedua berjaya membongkar perbuatan tertuduh apabila mangsa melaporkan kehilangan barangnya dan berdasarkan bukti rakaman kamera CCTV yang dipasang di luar rumah itu, yang berjaya merakam tertuduh ketika menceroboh dan mencuri.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan tarikh 7 Julai bagi menjatuhkan hukuman.