Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Seorang pekerja warga Filipina yang mencuri wang jualan dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.
Hukuman terhadap Juvilyn Acosta Ocol, 24, dijatuhkan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim.
Tertuduh yang bekerja di gerai jualan sayur mengaku bersalah mencuri wang jualan, dengan jumlah keseluruhan $8,000 milik majikannya dari Mac 2015 hingga Julai 2018.
Fakta kes menyebut, tertuduh sepanjang tempoh itu mengambil $20 ke $50 wang jualan dalam sehari dan bakinya akan diserahkan kepada majikannya. Tertuduh mengaku mengirimkan wang yang diambil itu kepada keluarganya di Filipina dan turut membeli gelang kaki emas berharga $200.
Kes tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.