PHOENIX, 9 APRIL – Stephen Curry menjaringkan 25 mata, Brandin Podziemski menambah 22 mata dan Golden State Warriors mudah menewaskan Phoenix Suns 133-95 semalam untuk terus bersaing dalam perebutan tempat playoff yang sengit di Western Conference.
Warriors berusaha memastikan salah satu daripada enam kedudukan teratas di Barat, yang akan mengelakkan mereka daripada terlibat dalam kejohanan play-in. Golden State kini terikat dengan Denver Nuggets, Memphis Grizzlies dan Los Angeles Clippers dengan rekod 47-32 bagi kedudukan keempat hingga ketujuh.
Golden State mendahului 69-43 pada separuh masa. Curry mencatat 19 mata sebelum rehat, manakala Podziemski menambah 17 mata.
Warriors mendahului sebanyak 41 mata pada separuh masa kedua.
Suns — yang kini mengalami tujuh kekalahan berturut-turut — berada di ambang penyingkiran daripada saingan pasca musim. Satu-satunya cara Phoenix boleh mara ke kejohanan play-in Persidangan Barat adalah dengan memenangi tiga perlawanan terakhir musim biasa mereka dan dalam masa yang sama Dallas Mavericks perlu tewas dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Devin Booker mendahului Suns dengan 21 mata manakala Grayson Allen dan Ryan Dunn masing-masing menyumbang 12 mata. Kekalahan dengan beza 38 mata ini merupakan kekalahan paling teruk Suns untuk musim ini.
Golden State menyempurnakan tugas mereka menewaskan pasukan yang lebih lemah di tempat lawan dan masih mempunyai dua perlawanan yang boleh dimenangi dalam beberapa hari akan datang menentang Spurs dan Trail Blazers. Perlawanan terakhir musim menentang Clippers mungkin menjadi penentu kedudukan playoff.
Phoenix pula kelihatan seperti pasukan yang sudah bersedia untuk mengakhiri musim. Booker bermain baik pada separuh masa pertama, tetapi itu sahaja antara perkara positif bagi pasukan tersebut.
Warriors akan menjadi tuan rumah kepada Spurs pada Rabu. Suns pula akan menentang Thunder di tempat sendiri pada hari yang sama. – AP