PORTLAND, OREGON, 25 FEB – Stephen Curry memperoleh 18 mata dan 14 assist, Golden State Warrios kembali daripada rehat All-Star untuk menumpaskan Portland Trail Blazers 132-95 kelmarin.
Klay Thompson juga menyumbang 18 mata untuk Warriors, yang telah kehilangan empat daripada lima perlawanan terakhir mereka.
“Ia adalah cara yang baik untuk kembali dari rehat dan membina diri kami di kedua-dua hujung gelanggang,” kata Curry.
Warriors mendahului dengan 37 mata pada separuh masa kedua dan merehatkan pemain permulaan mereka pada suku keempat. Lapan pemain menamatkan saingan dengan dua angka – kali terakhir Golden State mempunyai bilangan pemain sebanyak itu pada 2009.
“Saya seronok tidak bermain pada suku keempat dan melihat pemain muda kami menerima sedikit semangat dan bermain dengan amat cemerlang,” kata Thompson.
Anfernee Simons mencatat 24 mata untuk Portland, yang telah menang empat kali berturut-turut menjelang rehat.
Portland mengumumkan sehari sebelumnya bahawa pemain tengah, Jusuf Nurkic akan diketepikan sekurang-kurangnya empat minggu akan datang disebabkan masalah plantar fasciitis. Kecederaan itu merupakan tamparan terbaharu kepada Blazers, yang tidak mempunyai pemain bintang, Damian Lillard selepas menjalani prosedur bahagian abdomen.
Jurulatih Portland, Chauncey Billups memulakan Drew Eubanks — yang bermain di Oregon State — di tengah.
Eubanks, dalam musim keempat NBAnya, berkunjung ke Toronto sebagai sebahagian daripada perjanjian Goran Dragic dengan San Antonio pada tarikh akhir dan kemudiannya diketepikan. Dia menandatangani kontrak 10 hari dengan Portland Selasa lalu. – AP
