LOS ANGELES, 16 JULAI – Bintang NBA, Stephen Curry, berjaya mencipta hole-in-one semalam dalam peringkat kedua kejohanan golf selebriti dan berlari gembira menuju ke padang untuk meraikan kejayaannya.
Curry, empat kali juara NBA bersama pasukan Golden State Warriors, terkenal sebagai penggemar golf yang tegar, dan sebelum ini turut bermain dalam acara jelajah pembangunan pada tahun 2017.
Dalam Kejohanan American Century Championship di lapangan Edgewood Tahoe South, Stateline, Nevada, Curry mencatat hole-in-one di lubang ketujuh, yang merupakan lubang par-3.
Pukulan tee Curry melantun dengan sempurna dan terus masuk ke dalam lubang, sekali gus menerima tepukan riuh dalam kalangan penonton.
Curry mula berlari ke arah padang dengan penuh semangat, melepaskan topinya dan menunjukkan jari kanan ‘nombor satu’ sebagai tanda kejayaan.
Beliau mengangkat kedua-dua tangan, menanggalkan sarung tangannya dan melontarnya kepada peminat sebagai hadiah dan melompat dengan penuh gembira setibanya di padang.
Selepas itu, beliau memukul tiang kayu bendera dengan tangan kirinya, sambil berlari mengelilingi padang dan akhirnya merebahkan dirinya di bawah pokok dengan senyuman lebar di wajahnya.
“Jaraknya sekitar 140 ela, bukan 94 kaki,” kata Curry, membandingkan jarak lubang tersebut dengan saiz gelanggang NBA. “Tapi wow. Wow. Saya akan kehabisan nafas sepanjang hari, tetapi dengan alasan yang sangat baik.”
Curry, yang mula bermain golf sejak berusia 10 tahun, sebelum ini hanya mencapai satu hole-in-one sahaja sebelum ini. – AFP