MIRI, 20 FEB – Selaras dengan rangka tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2018 – 2022, Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah menandatangani memorandum persefahaman bersama TEGAS (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) semasa majlis pertukaran bersempena pelancaran SMA-TEGAS Digital Innovation Hub (DIH), Miri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Curtin Malaysia, objektif utama MoU selama tiga tahun berkenaan adalah untuk mempromosikan minat dan menggalakkan inisiatif-inisiatif dalam keusahawanan, technopreneurship, memulakan perniagaan dan pembiayaan dalam kalangan pelajar dan kakitangan di Curtin dengan kerjasama masyarakat di Sarawak.
Dengan inisiatif ini, individu-individu yang mempunyai idea inovatif akan bermotivasi untuk memohon pembiayaan daripada kerajaan bagi projek-projek berkaitan.
Sementara itu, SMA-TEGAS DIH yang terletak di lokasi strategik direka dengan rekaan dalaman gaya Silicon Valley untuk mewujudkan suasana startup bagi pengusaha-pengusaha baharu tempatan dan berfungsi sebagai platform inklusif untuk menyokong dan memperkasa startup dan perusahaan sosial peringkat awal di Sarawak.
Pelancaran SMA-TEGAS DIH berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
