Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuti-cuti di Brunei: Kenali Negara Kitani

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ibarat sebutir mutiara yang tersimpan rapi di perut bumi, begitulah yang dapat digambarkan keindahan bumi Negara Brunei Darussalam yang masih memiliki alam semula jadi yang terjaga dan persekitaran yang bersih.

    Walaupun sebuah negara yang kecil, namun kehebatannya dalam menawarkan variasi produk dan lokasi tarikan pelancongan, sama ada wujud secara semula jadi mahupun yang dibina oleh manusia tidak dapat disangkal lagi.

    Hakikatnya, sektor pelancongan memiliki potensi yang begitu besar jika diterokai sehingga kewujudannya memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara. Di dalam artikel ini, penulis mengongsikan antara tarikan destinasi ‘penyejuk mata’ yang dapat diterokai di keempat-empat daerah semasa musim cuti persekolahan ini.

    Variasi tarikan destinasi ‘penyejuk mata’

    Dengan pembukaan semula Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja di ibu kota sekitar penghujung Oktober lalu, sememangnya berpotensi menjadi sumber pengetahuan mengenai industri minyak dan gas. Ia juga sebagai platform bagi kegiatan kesenian ke arah mendukung pembangunan industri kreatif di negara ini.

    Sehubungan itu, bagi memeriahkan cuti penggal persekolahan penghujung tahun, Jabatan Muzium-muzium (JMM) dengan kerjasama Sparks Co mengadakan aktiviti Fun at the Hub bermula awal Disember lalu sehingga 18 Disember ini.

    Menyelami keunikan budaya dan kesenian masyarakat Iban di Rumah Panjang Kampung Sibut, Mukim Amo.
    Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja sememangnya berpotensi menjadi sumber pengetahuan mengenai industri minyak dan gas di negara ini. – Gambar serahan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
    Lamin Warisan, salah satu destinasi yang terdapat di Daerah Tutong.
    Salah satu persembahan di Rumah Panjang Teraja. – Gambar serahan Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja.
    Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak menjadi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Belait. – Gambar oleh Daniel Lim
    Lamin Warisan, salah satu destinasi yang terdapat di Daerah Tutong.

    Aktiviti itu diungkayahkan untuk menggalakkan orang ramai mengunjungi hab tersebut bagi mengetahui tentang sejarah Negara Brunei Darussalam sebelum dan selepas penemuan minyak dan gas bagi memupuk penghargaan kepada khazanah warisan negara.

    Melalui aktiviti berkenaan, ia turut mendukung matlamat Keluarga Kebangsaan yang memfokuskan kepada tema Bersama Memeduli Keluarga untuk menggalakkan setiap ahli keluarga meluangkan masa yang berkualiti bersama. Matlamat yang ingin dicapai ialah menyatukan, menyantun dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan penuh rasa kasih sayang, tanggungjawab serta rasa hormat-menghormati dalam diri setiap keluarga.

    Mempelajari pemprosesan makanan laut

    Bagi mereka yang ingin menerokai dan menikmati suasana inap desa berkonsepkan kekeluargaan dengan pelbagai sentuhan hasil produk berasaskan sumber laut, bolehlah pergi ke Pusat Pelancongan Inap Desa Seri Tanjung, Kampung Sungai Bunga.

    Dikenali juga sebagai Tanjung Kindana, sememangnya berpotensi sebagai salah sebuah destinasi tarikan pelancongan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Di situ para pengunjung dapat menimba pengalaman berharga dengan mempelajari secara langsung cara pemprosesan makanan laut seperti keropok udang.

    Berkunjunglah ke daerah ‘Permata Hijau Brunei’

    Di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ atau Daerah Temburong turut tidak ketinggalan dalam menawarkan tempat-tempat menarik penuh warna.

    Jika awda seorang yang meminati alam sekitar, singgahlah seketika untuk menikmati pemandangan Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi yang terletak di Mukim Labu.

    Apa yang pasti, keunikan flora dan fauna hutan hujan tropika menggamit pengunjung yang mahu lari daripada ‘hutan batu’ di bandar.

    Tamu Aneka Temburong, Pekan Bangar, menarik para pelancong untuk menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman istimewa yang diketengahkan oleh usahawan veteran dan belia sama ada makanan tradisi atau fusion seperti wajid jawa, cendol dan paling menggiurkan, udang galah atau lebih dikenali sebagai si sepit biru.

    Selain itu, Mukim Amo juga menjadi salah satu destinasi para pencinta penerokaan tradisi dan budaya di mana ia menampilkan masyarakat Iban dengan konsep rumah tradisi mereka, iaitu Rumah Panjang Kampung Sibut dan juga Rumah Panjang Kampung Amo B.

    Bukan hanya dapat menyaksikan produk-produk istimewa mereka seperti kraf tangan anyaman dan ayam buluh bahkan pelancong juga dapat menyelami kehidupan mereka sebagai masyarakat Iban yang memiliki budaya dan kesenian yang tersendiri.

    Dua daerah serlah ekopelancongan

    Di Daerah Tutong pula, salah satu destinasi yang boleh dijadikan pilihan kunjungan utama bersama ahli keluarga mahupun sahabat handai ialah sebuah kediaman yang masih mengekalkan nilai-nilai sejarah kebudayaan, cara hidup dan tradisi orang-orang Tutong yang dikenali dengan Lamin Warisan.

    Terletak di Kampung Tanjong Maya, ia menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi adat Basuh Kaki di dalam perkahwinan orang-orang Tutong dan juga kuiz mencari barang lama secara berkumpulan di samping peluang menikmati juadah makanan tradisi tempatan.

    Dalam pada itu, Daerah Belait dikenali sebagai tempat terletaknya sumber terpenting negara iaitu minyak dan gas. Terdapat beberapa tarikan pengunjung yang mencerminkan sejarah legasi perkembangan industri minyak dan gas, antaranya Monumen Satu Bilion Tong yang dibina sebagai memperingati satu bilion tong minyak mentah yang digali di Seria.

    Selain itu, aktiviti pelancongan yang dapat diterokai di daerah berkenaan ialah lawatan trek di Pusat Biodiversiti Tropika, Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak dan Rumah Panjang Mendaram Besar di Kampung Labi.

    Diharap anak-anak watan menghargai setiap tarikan domestik yang tidak kurang hebatnya seperti di negara-negara luar.

    Sambil bercuti di negara sendiri, jangan pula leka dengan keselamatan dan menjaga persekitaran di mana pun kita berada.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda