Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kempen popular yang amat dinanti-nantikan telah kembali bagi edisi ketiga iaitu kempen Cuti-Cuti Malaysia Swipe & Win, yang menawarkan tawaran istimewa baru dan hadiah menarik untuk menggalakkan perjalanan ke Malaysia.
Kempen yang dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Straits Central Agencies Sdn Bhd, Toursim Malaysia Brunei dan Baiduri Bank Sdn Bhd, akan bermula dari sekarang hingga 30 November.
Sehubungan dengan itu, pelancaran kempen video Cuti-Cuti Malaysia Swipe & Win disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan dalam majlis pelancaran yang di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Turut hadir pada pelancaran berkenaan ialah Pengurus Besar Straits Central Agencies Sdn Bhd, Nur Khadijah Abdullah; Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Hazrina Azman serta Penolong Pengurus, Pemasaran dan Pembangunan Kad, Perniagaan Kad Bank Baiduri, Katie Lim Shin Ru.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah rakan kongsi utama yang mengetengahkan pencipta kandungan tempatan berbakat, @apakanfizah, yang dilantik sebagai pencipta video CCM bagi tahun ini, mengetengahkan tawaran makanan, membeli-belah dan gaya hidup di Malaysia.
Dalam kata alu-aluannya, Nur Khadijah menyatakan bahawa SCA amat berbesar hati diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Bank Baiduri untuk tiga tahun berturut-turut.
“Kami amat teruja sekali lagi dapat membawa peluang-peluang ini kepada pelanggan kami dan mempromosikan pelancongan Malaysia.”
Beliau menambah mereka percaya kolaborasi seumpama itu, adalah amat penting dalam memacu pertumbuhan dan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi yang harus dilawat khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.
Sementara itu, Hazrina Azman dipetik menyatakan amat mengalu-alukan kolaborasi berterusan dengan Straits Central Agencies dalam usaha untuk mencapai 1.4 juta ketibaan pelawat dari Negara Brunei Darussalam pada 2025. Beliau menambah bahawa dari Januari hingga Jun 2025, ketibaan pelawat Brunei ke Malaysia dicatatkan seramai 747,851 orang pelawat, meletakkan Brunei sebagai lima buah negara teratas yang menyumbang kepada Malaysia.
Dengan sokongan kukuh daripada rakan kongsi tempatan, tambahnya Hazrina lagi, mereka adalah optimis bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan bagi Brunei.
Manakala itu, Ketua Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Lim Kian Chiong dipetik menyatakan terus mencari kaedah bermakna untuk menjana lebih nilai untuk pelanggan mereka. Penyertaan mereka dalam promosi itu, tambahnya, mencerminkan komitmen menggabungkan kemudahan kad mereka dengan pengalaman gaya hidup yang memberikan ganjaran. Memandangan ke hadapan, mereka ingin untuk mendalamkan lagi kolaborasi untuk membawa lebih banyak peluang kepada pelanggan mereka untuk menikmati, meneroka dan berkembang dengan mereka.






