MADRID, 30 JULAI – Kerajaan Sepanyol kelmarin meluluskan pembaharuan dasar sosial bagi melanjutkan tempoh cuti ibu bapa bergaji daripada 16 minggu kepada 19 minggu bagi setiap ibu bapa, satu tindakan bertujuan merangsang sokongan keluarga dan memperkasa kesaksamaan jantina.
Menurut kenyataan Kementerian Buruh Sepanyol, setiap ibu dan bapa kini berhak mendapat 17 minggu cuti bergaji yang tidak dapat dipindahkan sepanjang tahun pertama kelahiran anak. Daripada jumlah itu, enam minggu wajib diambil serta-merta selepas kelahiran atau pengambilan anak.
Dua minggu tambahan pula boleh digunakan pada bila-bila masa sebelum anak mencapai umur lapan tahun.
Bagi keluarga ibu atau bapa tunggal, kira-kira 80 peratus yang majoritinya wanita, layak mendapat cuti sehingga 32 minggu.
Menteri Buruh, Yolanda Diaz berkata langkah tersebut bertujuan untuk memastikan pekerjaan ‘bukan penghalang apabila membuat keputusan untuk membina keluarga’ dan merupakan satu lagi langkah ke arah lelaki dan wanita berkongsi tugas keibubapaan.
Langkah itu juga bertujuan memastikan negara itu mematuhi arahan Kesatuan Eropah berkaitan cuti ibu bapa. Kerajaan minoriti yang memerintah ketika ini menyatakan keyakinan reformasi itu akan mendapat kelulusan Parlimen. – AFP


