HONG KONG, 27 JAN – Aktiviti pembuatan di China menyusut pada Januari buat pertama kali dalam tempoh empat bulan, apabila para pekerja mula meninggalkan tugas di kilang untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut cuti Tahun Baharu Cina.
Biro Statistik Kebangsaan melaporkan, indeks pengurus pembelian (PMI) berdasarkan tinjauan pengurus kilang turun kepada 49.1 pada Januari berbanding 50.1 pada Disember.
PMI di atas 50 menunjukkan pengembangan aktiviti, manakala bacaan di bawah 50 menandakan penguncupan.
Pesanan baharu dan kadar pengeluaran turut mencatatkan penurunan ketara.
PMI bagi sektor bukan pembuatan, yang meliputi pembinaan dan perkhidmatan, susut kepada 50.2 mata daripada 52.2 pada bulan sebelumnya.
Penurunan aktiviti pembuatan sebahagiannya disebabkan oleh persiapan menyambut musim perayaan, menurut Zhao Qinghe, ahli statistik kanan biro tersebut.
Tahun Baharu Cina, yang merupakan perayaan paling penting di China, akan bermula pada Selasa dengan cuti umum berlangsung sehingga 4 Februari. Jutaan rakyat China meninggalkan bandar untuk pulang ke kampung halaman bagi menikmati masa rehat bersama keluarga, yang lazimnya mengganggu data ekonomi pada awal tahun. – AP