Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuti umum dikhaskan tanam pokok

    NAIROBI, KENYA, 7 NOV – Kerajaan Kenya mengumumkan Isnin sebagai cuti umum mengejut pada 13 November untuk hari penanaman pokok di seluruh negara, sebahagian daripada rancangan bercita-cita tinggi untuk menanam 15 bilion pokok menjelang 2032.

    Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki membuat pengumuman itu melalui notis warta yang disiarkan di rangkaian sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, berikutan mesyuarat kabinet yang diadakan minggu lalu dan dipengerusikan oleh Presiden William Ruto.

    “Kerajaan telah mengisytiharkan cuti khas pada hari Isnin, 13 November 2023, di mana orang ramai di seluruh negara dijangka menanam pokok sebagai sumbangan patriotik kepada usaha negara untuk menyelamatkan negara kita daripada kesan buruk perubahan iklim,” kata Kindiki.

    Litupan hutan semasa Kenya kini berjumlah kira-kira 7 peratus tetapi kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada AS$80 juta tahun kewangan ini, ketika ia berusaha untuk meningkatkan kawasan pokok kepada lebih daripada 10 peratus.

    Perubahan iklim memburukkan lagi kemarau di Afrika, termasuk Kenya, di mana hujan telah gagal turun selama lima musim berturut-turut.

    Kementerian Persekitaran, Perubahan Iklim dan Perhutanan Kenya berkata ia akan menyediakan anak pokok untuk apa yang dikatakan sebagai ‘komitmen yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kerajaan terhadap kewajipan tindakan iklim kami’.

    “Ia adalah detik untuk rakyat Kenya berdiri dalam solidariti dalam usaha mempertahankan alam sekitar kita, ia adalah hari sumbangan kita semua untuk melawan krisis perubahan iklim,” kata Menteri Alam Sekitar, Soipan Tuya. – AP

    Pokok Jacaranda berbunga di Nairobi, Kenya pada 26 Oktober 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda