Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    CVR pesawat Sriwijaya Air ditemui

    JAKARTA, 31 MAC – Satu lagi komponen kotak hitam pesawat Sriwijaya Air yang terhempas pada 9 Januari lepas iaitu perakam suara kokpit (CVR) ditemukan pihak berkuasa Indonesia, kelmarin.

    Menteri Perhubungan Indonesia Budi Karya Sumadi pada sidang media hari ini berkata CVR itu dijumpai di dasar laut di Pulau Laki (Laki Island), di kawasan perairan Kepulauan Seribu, lokasi pesawat itu terhempas.

    Ia dijumpai tidak jauh dari tempat sebuah lagi komponen kotak hitam iaitu perakam data penerbangan (FDR) yang ditemui pada 12 Januari lepas.

    “Pasukan pencari daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) dan tentera Indonesia menemukan CVR pada pukul 8:05 malam tadi. Penemuan ini akan dapat melengkapkan lagi proses siasatan nahas berkenaan,” katanya dalam sidang media di Jakarta International Container Terminal (JICT) 2, di sini.

    Penerbangan pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air dari Jakarta ke Pontianak yang membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal itu terputus hubungan dengan menara kawalan sejurus berlepas dan menjunam ke laut.

    Menurut Budi Karya, setakat ini pasukan pencari telah mengenal pasti 59 daripada 62 mangsa yang terkorban menerusi hasil ujian DNA, ‘antermortem’ dan ‘postmortem’, pada cebisan mayat.

    Punca nahas masih disiasat. – Bernama

    Para pegawai Indonesia membawa kotak mengandungi CVR di pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta pada 31 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda