LOS ANGELES, 2 JAN – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh cedera apabila Tesla Cybertruck meletup di luar hotel milik Presiden Donald Trump di Las Vegas, kata polis hari ini.
Kenderaan elektrik itu berhenti di pintu masuk kaca Trump International Hotel sebelum berlaku satu ‘letupan besar’, kata Sheriff Las Vegas, Kevin McMahill kepada pemberita.
Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum terbakar, diikuti dengan letupan lebih kecil yang kelihatan seperti bunga api.
McMahill berkata terdapat, “seorang individu maut di dalam Cybertruck berkenaan” manakala tujuh orang mengalami kecederaan ringan. Dia turut berkata hotel itu telah dikosongkan.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sebarang kemungkinan yang mengaitkan letupan berkenaan dengan serangan di New Orleans kelmarin, di mana sebuah trak merempuh orang ramai dan membunuh sekurang-kurangnya 15 dan mencederakan berpuluh-puluh orang.
“Setakat ini, tiada apa-apa untuk dilaporkan,” kata Biden.
Ejen FBI, Jeremy Schwartz menyifatkan letupan Las Vegas berkenaan sebagai ‘kejadian terpencil’ sambil menambah: “Kami tidak percaya bahawa terdapat sekumpulan orang di luar sana menyokong atau membantu kejadian ini.”
Ketua Tesla, Elon Musk berkata bahawa letupan itu, “disebabkan oleh bunga api yang sangat besar dan/atau bom yang dibawa menggunakan Cybertruck yang disewa,” sambil menambah dalam siaran di X bahawa ia, “tidak berkaitan dengan kenderaan itu sendiri.”
Terdahulu, beliau berkata, “seluruh pasukan senior Tesla” sedang menyiasat letupan berkenaan sambil menambah: “Kami tidak pernah melihat apa-apa seperti ini.”
Polis berkata mereka masih berusaha untuk mengenal pasti punca letupan berkenaan. Media AS termasuk NBC dan CBS melaporkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan terdapat serangan pengganas, memetik sumber yang tidak dinamakan.
McMahill menambah, “Ia adalah trak Tesla, dan kami tahu Elon Musk sedang bekerjasama dengan Trump yang dilantik sebagai Presiden, dan ia adalah menara Trump. Jadi jelas ada perkara yang perlu dibimbangkan dan itu adalah sesuatu yang akan kami siasat.”
Musk yang menyokong Trump dalam pilihan raya lalu dan dilantik mengetuai suruhanjaya untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, berkata beliau akan menyiarkan lebih banyak maklumat “sebaik sahaja kami mengetahui apa-apa.” – AFP