Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kotej dan Program Inisiatif Belia iCentre (CYiP) akan mengadakan Pertandingan Bungkusan Biskut dan Kek untuk Eksport 2017 Peringkat Kebangsaan.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don selaku Pengetua Mentor CYiP yang juga selaku Penasihat Pertandingan dalam sidang media yang berlangsung di iCentre Tech Park Anggerek Desa, pagi tadi.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif CubeJunction, Awang Ramlee bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Zainuddin yang juga selaku penganjur pertandingan; Penyelaras Pertandingan, Awang Azri bin Haji Jumat; Pengurus acara, Dayang Siti Zaleha binti Haji Kaprawi dan Pembekal Bungkusan dan konsultan, Connie Lu Qiuping.
Sidang media berkenaan juga diselajurkan dengan upacara memotong kek sebagai menandakan bermulanya penghakiman pertandingan bagi pertandingan tersebut yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum, Datin Hajah Masni binti Mohd Ali, Dayang Siti Kaprawi, Chef Martinianus Chrishardanti dan Chef Siti Mastura Alwai.
Kapten (B) Zailan dalam ucapannya semasa acara tersebut menjelaskan peranan penting CYiP bagi menggalakkan perniagaan kecil Brunei ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), ASEAN + 3 dan BIMP-EAGA selaras dengan pelan strategik kerajaan dalam peluang pembangunan ekonomi tempatan dan perdagangan dua hala.

“Seperti yang saya faham peralihan daripada industri bukan minyak dan gas bagi ekonomi mapan memerlukan usaha yang amat besar dan kerja berpasukan ke arah Wawasan Brunei 2035 dalam menangani cabaran dan isu-isu semasa, selain daripada menggalakkan pengaruh keusahawanan untuk mencipta pekerjaan kepada mengurangkan struktur dan geseran pengangguran.
“Pelan utama semasa CYiP akan memberi tumpuan dalam menggalakkan perniagaan melalui www.cubejunction.com platform runcit dalam talian ke atas produk premium, produk halal, produk nilai tambah, jumlah dagangan kecil, menyediakan perkhidmatan untuk perniagaan nano dan mikro serta menyediakan perkhidmatan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)”, jelasnya.
Ke arah usaha bagi menangani pelbagai bentuk cabaran, jelasnya, CYiP sentiasa komited bagi mengenal pasti cabaran semasa nano dan mikro perusahaan PKS seperti kawalan kualiti produk, jumlah pengeluaran, pembungkusan kualiti, perbelanjaan operasi yang tinggi, akses kepada pasaran dan lain-lain.
Program CYiP juga bekerjasama dengan Darussalam Enterprise (DARe) yang telah menyediakan CYiP dengan bantuan yang hebat dan kerjasama berkesan dalam membantu menggalakkan program ini kepada perniagaan tempatan.