KUALA LUMPUR, 12 OKT – D-Virtual Park, taman tema realiti maya (VR) pertama di Borneo oleh Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) yang dilancarkan secara rasmi di Kota Samarahan, Sarawak, hari ini merupakan inisiatif terbaik oleh syarikat itu untuk memberi kesedaran dan pendedahan dalam kalangan penduduk luar bandar mengenai teknologi terbaharu dan penggunaan peranti serta aplikasi digital.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata taman tema VR itu seiring dengan agenda kerajaan Sarawak untuk memacu ekonomi digital kerana ia adalah salah satu cara untuk merevolusikan ekonomi digital dalam kalangan 2.8 juta penduduk tempatan.
“Untuk menjadi agresif di pasaran, kita harus dihubungkan dengan pasaran.
“Oleh itu, kita mesti menggunakan penghubung ke pasaran, iaitu dengan mempromosikan penggunaan lejer digital terbuka, pautan yang dihubungkan ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran hari ini.
Beliau juga berkata kerajaan negeri Sarawak ketika ini sedang dalam usaha untuk meningkatkan infrastruktur jaringannya, ia telah melabur sebanyak RM1 bilion daripada dana negeri bagi kerja-kerja menaik taraf, termasuk memasang menara telekomunikasi, selain menerima bantuan yang sesuai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Abang Johari juga berkata memandangkan kegiatan pertanian negeri merangkumi sebahagian besar penduduk, kerajaan negeri sedang mempromosikan pertanian komersial berdasarkan teknologi secara agresif, pada masa yang sama meneruskan penggunaan Sarawak Pay, negeri pertama yang memperkenalkan sistem pembayaran mudah alih di negara ini.
Beliau berkata simulasi dalam VR dan realiti terimbuh (AR) dalam permainan dan studio disediakan untuk orang ramai, pelajar dan usahawan itu dapat mencabar pemikiran individu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif di taman tema VR tersebut,
Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik Group Bhd, Datuk Abdul Kadier Sahib berkata walaupun pandemik COVID-19 telah memberi banyak cabaran bagaimanapun ia telah mengubah pemikiran masyarakat, terutama warga emas dan mereka yang enggan menggunakan teknologi dan aplikasi digital pada mulanya untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan telefon pintar dan membeli-belah dalam talian.
“Di sini (taman VR)… juga terdapat kemudahan studio kreatif dan bagi syarikat pemula niaga, syarikat berkenaan dapat dihubungkan ke tiga pusat kemudahan penyelidikan lain di dunia, iaitu Indian Institute of Technology Madras; Stanford Universiry, California dan Makmal Inovasi Terbuka Shenzhen,” katanya. – Bernama