Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Da Nang labur dalam reka bentuk cip semikonduktor, pembangunan AI

    DA NANG, 12 NOV – Bandar Da Nang di Vietnam kelmarin meluluskan satu projek untuk membangunkan infrastruktur pengkomputeran bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam reka bentuk cip semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI), dengan jumlah pelaburan melebihi 200 bilion dong (AS$7.6 juta) daripada belanjawan bandar itu.

    Menurut Jawatankuasa Rakyat Bandar Da Nang, ketika dunia memasuki era AI dan semikonduktor, kuasa pengkomputeran telah menjadi faktor penentu dalam membentuk daya saing sesebuah negara dan bandar, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

    Dengan visi untuk muncul sebagai hab inovasi dan teknologi tinggi di Vietnam tengah, Da Nang telah menggubal beberapa resolusi dan dasar utama bagi memperkukuh sumber manusia, infrastruktur serta perusahaan dalam sektor AI dan semikonduktor. Sistem pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dianggap sebagai asas utama untuk merealisasikan matlamat itu.

    Pelaburan dalam HPC bukan sekadar projek teknikal tetapi langkah strategik yang membolehkan Da Nang menguasai teknologi, membangunkan syarikat pemula niaga, menarik pelaburan serta menangani cabaran sosioekonomi.

    Projek itu juga akan menyokong perusahaan berasaskan inovasi, syarikat pemula semikonduktor dan AI yang berpangkalan di Taman Perisian No. 2, selain menghubungkan universiti tempatan bagi memperkukuh penyelidikan dan latihan dalam reka bentuk cip dan AI. – Bernama

    Pemandangan umum menunjukkan bangunan-bangunan di Da Nang, Vietnam tengah, pada 31 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda